Nama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sudah tidak asing lagi sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang berdaya saing, proaktif dan berupaya mencapai pengiktirafan yang cemerlang dalam setiap penglibatan penganugerahan dan pertandingan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Hasil kerjasama dan perkongsian pengalaman serta kepakaran daripada pelbagai agensi kerajaan, pihak berkepentingan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan badan-badan antarabangsa yang lain secara tidak langsung telah memberi peluang kepada MBIP mencipta pelbagai inovasi dan meningkatkan daya kreativiti selari dengan peredaran masa dan teknologi terkini.
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) melalui kerjasama strategik membabitkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan SWM Environment Sdn Bhd di bawah inisiatif Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) telah menerima penghargaan di peringkat kebangsaan. MIP Planning Excellence Award 2022 yang dianjurkan pada 16 Januari 2023 di Majestic Hotel Kuala Lumpur telah menganugerahkan MBIP dengan Bronze Winner under the Low Carbon Planning Award (City Category). Melalui projek Iskandar Puteri Rendah Karbon -Build Agile Community and Sustainable Cities from Within . IPRK dirangka bagi menterjemah Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Puteri 2025 yang dilancarkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada tahun 2015 dalam usaha memangkin sikap dan peranan masyarakat terhadap usaha pengurangan karbon global bagi mendepani krisis perubahan iklim dan pemanasan suhu global. Tahniah dan syabas diucapkan kepada rakan strategik, komuniti dan semua yang terlibat
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah menerima penghargaan khas daripada Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) atas usahanya mengangkat Inisiatif Kemampanan (Sustainability) di dalam kawasan pentadbirannya. "RISM Excellence Award 2022" telah berbesar hati menganugerahkan "Outstanding Contribution Towards Sustainability Award" melalui projek Pelan Pemuliharaan Sungai Skudai kepada MBIP. Anugerah ini adalah untuk mengiktiraf individu, organisasi atau pembangunan khusus yang dianggap sebagai sumbangan cemerlang ke arah kelestarian alam sekitar, penggunaan sumber asli yang cekap dan mampu memenuhi keperluan sosial dan aspirasi generasi masa kini dan akan datang. Anugerah sedemikian tidak disampaikan setiap tahun.
Anugerah ini telah disampai pada 25 Jun 2022 di The Grand Ballroom, Kuala Lumpur Convention Centre oleh Presiden Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), Dato' Sr Dr. Azhari Bin Mohamed.
MBIP dianugerahkan sebagai Bandaraya Mampan 2022 dan dinobatkan sebagai antara 10 bandar Berdaya Huni Tahap Tertinggi di Malaysia. Anugerah Mampan 2022 telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Bin Ghazi selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bil. 3/2022 yang berlangsung pada 13 Disember 2022. Walaupun terdapat kekangan semasa Pandemik Covid-19 pada tahun 2021, MBIP terus komited bersama-sama pihak agensi dan komuniti yang terlibat dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan program-program pembangunan sepertimana yang telah dirancang dan secara tidak langsung mendukung 10 keutamaan bagi mencapai matlamat Pembangunan Mampan / Sustainable Development Goals (SDGs) di peringkat global.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Landskap Negara telah menganjurkan sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan 2022 (HLN2022). Tema Majlis Sambutan HLN 2022 adalah ‘25 Tahun Negara Taman Terindah’ sempena 25 tahun penubuhan Jabatan Landskap Negara dan sambutan ini telah disempurnakan oleh YAB Dato Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 5 Mac 2022 (Sabtu). MBIP telah memenangi dua kategori iaitu kategori Booth Terbaik PBT dan Kategori Booth Pencahayaan Terbaik
MBIP Menerima Anugerah Special Achievement In GIS (SAG) 2022 Sempena ESRI User Conference di San Diego, Amerika Syarikat Pengurusan MBIP telah menggunakan teknologi GIS dalam menguruskan data pembangunan semenjak tahun 2003. Seiring dengan kepesatan pembangunan dan peningkatan jenis perkhidmatan yang diberi kepada penduduk, kuantiti dan kualiti data pangkalan data geografi MBIP telah berkembang mengikut zaman. Kini, pangkalan data geografi MBIP yang mengguna teknologi Enterprise GIS telah mengarkibkan 28 jenis data di bawah 5 tema utama bagi seluruh MBIP yang berkeluasan 402 kilometer persegi. Usaha pendigitalan perkhidmatan melalui penerapan teknologi GIS dalam operasi harian, data terbuka untuk komuniti, dashboard yang memantau prestasi jabatan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa. MBIP merupakan Pihak Berkuasa Tempatan yang pertama di Malaysia menerima SAG daripada Presiden dan Pengasas ESRI Inc., Mr Jack Dangermond. MBIP merupakan organisasi yang dipilih daripada 300,000 organisasi sedunia yang menggunakan teknologi GIS. Persidangan tersebut telah diadakan daripada 11 hingga 15 Julai 2022 di San Diego, Amerika Syarikat dengan kehadiran 14,994 pengguna daripada 142 negara secara fizikal dan 16,596 secara atas talian.
Portal Iskandar Puteri 'zero delay' complaint management system aka dashboard SISPAA Majlis Bandaraya Iskandar Puteri telah diiktiraf di ESRI. Pada 25 Mei 2022, bertempat di Hotel Hilton Kuala Lumpur, Yang Berhormat Dato' Haji Haffiz bin Haji Ahmad,Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri telah menerima anugerah MALAYSIA GEOINNOVATION AWARDS 2021 KALI KE-2.
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri telah mulakan langkah digitalisasi dataset majlis melalui teknologi GIS yang digunapakai secara meluas sejak tahun 2003 kerana majlis percaya perkhidmatan kepada rakyat perlu disalurkan meliputi dalam dan luar bandar.
MBIP telah membuktikan sekali lagi kredibiliti apabila berjaya memenangi anugerah GeoInnovation Award peringkat kebangsaan. Projek yang dikenali sebagai Dashboard SISPAA - Sistem Pengurusan Aduan Awam ini adalah satu projek usahasama dengan pihak IRDA dan Foreign, Commonwealth & Developmeny Office UK. Projek ini telah melanjutkan penggunaan data aduan yang direkod dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) yang dibangunkan oleh Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri.
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah berjaya mencapai tahap Bandar Mampan dengan mendapat skor 95.99% melalui pengukuran indeks kemampanan bandar 2021. Anugerah tersebut dinilai berdasarkan pengukuran iDAM yang merupakan instrumen pengukuran tahap daya huni dan kesejahteraan rakyat di peringkat kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Special Mention In Green Accord Initiative Award (GAIA) 2021/2022
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri telah menerima Anugerah Penghargaan kerana telah memberi sokongan dan penyertaan dalam program GAIA serta usaha menghijaukan Johor dan mewujudkan masyarakat rendah karbon.
Bangunan Pejabat Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Medini Iskandar telah diberi pengiktirafan dan penghargaan Special Mention In Green Accord Initiative Award (GAIA) 2021/2022 sempena GREEN ACCORD INITIATIVE AWARD (GAIA) 2021/2022 yang telah dianjurkan oleh pihak Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan disampaikan oleh YB Tuan Raven Kumar a/L Krishnasamy, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor pada 17 Oktober 2022 bertempat di Opero Hotel, Johor Bahru.
MBIP akan menjadikan penghargaan ini sebagai pemangkin dan pemberi semangat agar dapat terus meneraju pelaksanaan teknologi hijau dan mampan serta komited dalam mencapai wawasan Iskandar Malaysia Rendah Karbon 2025 serta seiring dengan Visi MBIP untuk menjadi BANDARAYA PINTAR, MAMPAN DAN SEJAHTERA.
Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) merupakan sistem yang menilai tahap penyampaian perkhidmatan PBT di seluruh negara menerusi kaedah penggredan yang seragam. Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berjaya memperolehi dan mengekalkan penarafan lima (5) Bintang dengan kedudukan markah sebanyak 97.49% pada penilaian diadakan pada 28 Jun 2022. Prestasi cemerlang yang diperolehi merangkumi kesemua kriteria utama SPB-PBT iaitu Pengurusan, Perkhidmatan -Perkhidmatan Teras, Pengurusan Pelanggan dan Penyertaan Komuniti dan Pandanagan Penduduk. Lanjutan dari itu, MBIP juga telah dianugerahkan sebagai PBT Terbaik Bandaraya di bawah kategori Perkhidmatan Teras.
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah menerima Anugerah PERAK sempena Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 yang telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. (AIGA) 2022 merupakan salah satu inisiatif Institut Integriti Malaysia (IIM) dalam usaha menerapkan dan memperkasakan integriti dan tata kelola baik khususnya dalam organisasi awam dan swasta sebagai pengiktirafan dan penghargaan di atas komitmen dalam membudayakan dan mengamalkan integriti di dalam organisasi. AIGA juga adalah salah satu daripada pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dalam usaha memperkasakan peranannya sebagai peneraju utama pembudayaan dan penerapan nilai-nilai integriti dan tadbir urus bagi rakyat Malaysia. Anugerah ini juga memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dalam menzahirkan pembudayaan amalan integriti, governans dan antirasuah yang lebih cekap selain menunjukkan keupayaan, kemampuan, komitmen dan kesungguhan pihak MBIP dalam usaha pelaksanaan sistem kawalan pengurusan risiko dan pencegahan rasuah.