Tahap kebersihan tandas awam sering dipaparkan di media massa dan juga diutarakan hingga ke Parlimen dan Mesyuarat Jemaah Menteri dengan mesej bahawa tandas-tandas awam di Malaysia masih kotor. Keadaan ini menjejaskan imej negara di mata pelancong. Senario ini tidak terhad kepada tandas-tandas lama tetapi juga tandas-tandas awam di bangunan baharu. Keperluan minimum bagi reka bentuk tandas awam merangkumi persekitaran sesuai, bersih, selesa, selamat, tandas yang boleh digunakan khas untuk orang kurang upaya (OKU), mesra pengguna, tahan daripada dirosakkan, pencahayaan dan pengudaraan yang mencukupi sama ada secara semulajadi atau mekanikal.
Pada tahun 2022, sebanyak 1,060 buah tandas kegunaan awam bukan milik PBT di dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah digredkan yang melibatkan tandas awam di pusat pelancongan swasta, pasar raya, premis makanan, stesen minyak dan sekolah. Hasil penggredan mencatatkan 165 buah tandas mendapat 5 bintang, 345 tandas mendapat 4 bintang dan 550 tandas mendapat 3 bintang. Bagi menggalakkan pemilik premis menjaga kebersihan tandas dengan baik, pihak pentadbiran Majlis telah mengambil inisiatif dengan menjalankan Pertandingan Tandas Awam Bersih sempena Karnival Iskandar Puteri pada setiap tahun. Pertandingan tersebut melibatkan penyertaan dalam kategori premis makanan, pusat pelancongan, pasar raya, sekolah dan stesen minyak. Untuk rekod, MBIP merupakan salah satu PBT di dalam negeri Johor yang memberikan Anugerah Tandas Awam terbersih di peringkat tempatan sebagai menghargai usaha pemilik premis di dalam memastikan tahap kebersihan tandas awam supaya sentiasa berada di tahap yang terbaik atau 5 bintang.